Mesyuarat ini telah menghimpunkan pegawai-pegawai kanan daripada pelbagai Kementerian, Jabatan dan Agensi berkaitan termasuk antara lain, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Jabatan Perdana Menteri.
RUU ANTIBULI 2025
RUU ANTIBULI 2025
Latar Belakang
Isu buli secara fizikal mahupun dalam talian, kekal sebagai masalah sosial yang serius di Malaysia. Kes-kes yang dilaporkan menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa dan memberi kesan mendalam terhadap kesejahteraan mangsa, keluarga dan masyarakat. Perbuatan buli bukan sekadar mengakibatkan kecederaan fizikal dan tekanan emosi, malah turut memberi kesan negatif terhadap perkembangan sosial, pencapaian dalam pelajaran serta berpotensi mencetuskan kitaran keganasan yang berterusan
Walaupun terdapat peruntukan undang-undang sedia ada yang boleh digunakan untuk mendakwa kes-kes tertentu berkaitan buli, ia masih bersifat umum dan tidak secara khusus mentakrif serta menangani perbuatan buli dalam konteks semasa, termasuk buli siber dan bentuk-bentuk psikologi yang kompleks. Keadaan ini mewujudkan jurang dari segi perlindungan, mekanisme pelaporan dan tindakan pembetulan yang jelas.
Menyedari keperluan ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) telah mengambil inisiatif untuk menggubal draf Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli sebagai langkah menyeluruh bagi memperkukuh dasar pencegahan dan penguatkuasaan. Inisiatif ini dirangka melalui:
(i) Libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk kementerian, agensi penguatkuasaan, pertubuhan masyarakat sivil, pakar akademik dan wakil komuniti;
(ii) Kajian perbandingan undang-undang di peringkat serantau dan antarabangsa untuk mengenalpasti amalan terbaik dalam menangani isu buli; dan
(iii) Penyediaan kerangka perundangan baharu yang menetapkan definisi buli yang seragam, memperincikan tanggungjawab institusi pendidikan dan organisasi, memperkukuh mekanisme pelaporan, intervensi serta perlindungan menyeluruh kepada mangsa.
Penggubalan RUU ini diharap dapat menjadi landasan undang-undang yang teguh bagi mencegah, menangani dan mengurangkan kes buli secara berkesan, seiring aspirasi kerajaan membina masyarakat yang selamat, inklusif dan saling menghormati.
Objektif
- Objektif Penggubalan RUU Antibuli berdasarkan aspek penelitian setakat ini tertakluk pertimbangan Jemaah Menteri berdasarkan hasil sesi libat urus.
1. Menyediakan kerangka undang-undang khusus bagi memastikan tindakan pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan terhadap perbuatan buli dapat dilaksanakan melalui mekanisme yang jelas di bawah Akta ini dan tidak lagi bergantung semata-mata kepada undang-undang am sedia ada.
2. Memperincikan tanggungjawab dan kewajipan institusi pendidikan, termasuk penyediaan dasar antibuli bertulis, prosedur aduan dalaman, perlindungan interim kepada mangsa serta latihan dan audit pematuhan, supaya sekolah menjadi barisan hadapan dalam usaha pencegahan dan pengesanan kes buli.
3. Memberi perlindungan dan pemulihan kepada mangsa buli dengan memastikan akses kepada perintah perlindungan, sokongan psikologi dan kaunseling serta langkah pemulihan lain tanpa diskriminasi, selaras dengan prinsip mesra kanak-kanak.
4. Mengukuhkan kesedaran dan pendidikan awam secara menyeluruh melalui fungsi Pesuruhjaya Antibuli untuk menyelaras program pencegahan, advokasi komuniti dan penyelidikan dasar termasuk kerjasama rentas kementerian dan agensi.
5. Menetapkan penalti dan tindakan pembetulan yang sewajarnya terhadap pelaku buli serta mana-mana pihak yang gagal mematuhi kewajipan undang-undang, termasuk melalui perintah Tribunal, notis pematuhan, tindakan tatatertib pentadbiran dan hukuman jenayah bagi mencegah pengulangan kes. 







