Rang Undang-Undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2024
Akta Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2024 (Akta 853) di Malaysia memberikan kekebalan kepada negara asing, ketua negara, dan ketua kerajaan daripada bidang kuasa mahkamah Malaysia, selaras dengan undang-undang antarabangsa. Ia membolehkan kekebalan diketepikan dalam situasi tertentu, seperti persetujuan nyata atau transaksi komersial.
Akta ini juga menubuhkan Majlis Kekebalan Negara Asing untuk menilai isu berkaitan kekebalan dan mengenakan prinsip timbal balik, di mana kekebalan boleh ditarik balik jika negara asing tidak memberikan layanan yang sama kepada Malaysia.
Penguatkuasaan akta ini dijangka memperkukuh hubungan diplomatik dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sistem perundangan Malaysia.
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 19 Mac 2024
Dewan Negara: 1 April 2024
Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 Berkenaan Akaun Keldai
Pindaan kepada Kanun Keseksaan 2024 memperkenalkan peruntukan khusus untuk menangani penyalahgunaan akaun keldai (mule account) (akaun bank yang digunakan untuk tujuan jenayah tanpa pengetahuan pemilik). Pindaan ini menjadikan ia satu kesalahan untuk memiliki atau membenarkan akaun orang lain digunakan tanpa kuasa sah.
Tujuan pindaan adalah untuk memperkukuh undang-undang Malaysia dalam memerangi jenayah siber dan memperbaiki penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan akaun kewangan. Ini termasuk kuasa kepada pihak berkuasa untuk menyita atau menghalang transaksi yang disyaki berkaitan jenayah.
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 10 Julai 2024
Dewan Negara: 22 Julai 2024
Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024
Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 adalah pindaan kepada Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) yang bertujuan memperkukuh prosedur perundangan dalam menangani jenayah, termasuk jenayah siber dan penyalahgunaan akaun bank. Pindaan ini memberi kuasa tambahan kepada pihak berkuasa untuk menyita atau menghalang transaksi kewangan yang disyaki berkaitan dengan aktiviti jenayah.
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 11 Julai 2024
Dewan Negara: 22 Julai 2024
Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024
Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 bertujuan untuk memperbaiki perlindungan kepada saksi kanak-kanak dalam prosiding mahkamah, terutamanya dalam kes jenayah yang melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa. Pindaan ini membenarkan keterangan saksi kanak-kanak diterima tanpa sokongan, memperkenal tatacara baru dalam pengurusan kes, dan memastikan kedudukan kanak-kanak dihormati dalam sistem perundangan.
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 11 Julai 2024
Dewan Negara: 23 Julai 2024
Rang Undang-Undang Angkatan Tentera (Pindaan) 2024
Akta Angkatan Tentera (Pindaan) 2024, yang berkuat kuasa pada 1 November 2024, adalah pindaan kepada Akta Angkatan Tentera 1972 (Akta 77). Tujuan utama pindaan ini adalah untuk menambah baik struktur dan tatacara operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), memastikan ia lebih responsif terhadap cabaran keselamatan semasa. Pindaan ini juga melibatkan penyesuaian undang-undang berkaitan untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan ATM dalam menjalankan tugas mempertahankan negara.
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 15 Julai 2024
Dewan Negara: 23 Julai 2024
Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2024
Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 bertujuan memperkukuh perlindungan undang-undang terhadap kanak-kanak daripada jenayah seksual. Pindaan utama termasuk penggantian istilah “pornografi kanak-kanak” dengan “bahan penganiayaan seksual kanak-kanak” dalam Akta 792, selaras dengan perkembangan teknologi digital. Selain itu, pindaan ini menambah baik prosedur perundangan berkaitan keterangan saksi kanak-kanak, memastikan keseragaman dalam sistem perundangan. Langkah ini diambil untuk memastikan sistem perundangan Malaysia lebih responsif dan efektif dalam menangani kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 15 Julai 2024
Dewan Negara: 23 Julai 2024
Rang Undang-Undang Sumpah dan Ikrar (Pindaan) 2024
Akta Sumpah dan Ikrar (Pindaan) 2024 adalah pindaan kepada Akta Sumpah dan Ikrar 1949 yang bertujuan memperkemas prosedur berkaitan sumpah dan ikrar dalam sistem perundangan Malaysia. Pindaan utama melibatkan pemotongan Seksyen 8, yang sebelum ini berkaitan dengan keterangan saksi kanak-kanak. Langkah ini diambil untuk memastikan keseragaman dalam sistem keadilan, selaras dengan pindaan lain seperti Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024.
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 15 Julai 2024
Dewan Negara: 23 Julai 2024
Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) 2024
Akta Keterangan (Pindaan) 2024 adalah pindaan kepada Akta Keterangan 1950 yang bertujuan memperkemas dan menambah baik prosedur serta tatacara berkaitan keterangan dalam sistem perundangan Malaysia. Pindaan ini melibatkan beberapa aspek utama, termasuk menggantikan istilah “pornografi kanak-kanak” dengan “bahan penganiayaan seksual kanak-kanak” untuk selaras dengan perkembangan teknologi digital semasa. Selain itu, memperkenalkan peruntukan yang membolehkan saksi kanak-kanak dianggap kompeten untuk memberikan keterangan dalam prosiding berkaitan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
Pindaan ini diharapkan dapat meningkatkan keberkesanan sistem perundangan dalam menangani kes-kes berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 15 Julai 2024
Dewan Negara: 23 Julai 2024
Rang Undang-Undang Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024
Akta Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024 meminda Akta 166 untuk mempertingkatkan pengawalan profesion guaman di Malaysia. Pindaan utama melibatkan pengawasan kewangan yang lebih ketat dan memberi kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk mengaudit akaun Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang. Ia juga meningkatkan pengawasan terhadap peguam muda dan pelatih, memastikan sokongan yang lebih baik dalam profesion guaman. Pindaan ini bertujuan memperkukuh integriti dan standard profesion undang-undang di Malaysia.
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 9 Disember 2024
Dewan Negara: 17 Disember 2024
Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024
Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 bertujuan meningkatkan keselamatan pengguna di platform media sosial. Ia mewajibkan penyedia platform untuk memastikan keselamatan dalam talian, melindungi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun, dan menyekat kandungan berbahaya. Akta ini tidak akan menyekat kebebasan bersuara, tetapi fokus pada perlindungan pengguna dan kawal selia terhadap penyedia perkhidmatan dalam talian. Akta ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 11 Disember 2024
Dewan Negara: 16 Disember 2024
Rang Undang-Undang Pemegang Amanah 1949 (Pindaan) 2024
Akta Pemegang Amanah (Pindaan) 2024 memperkukuh kawal selia dan ketelusan dalam pengurusan dana amanah. Pindaan ini memperkenalkan definisi pemunya benefisial, meningkatkan kawalan selia untuk mencegah pengubahan wang haram, dan menyesuaikan undang-undang dengan piawaian antarabangsa. Tujuannya adalah untuk mencegah penyelewengan dana dan memastikan pengurusan amanah yang lebih telus dan bertanggungjawab.
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 11 Disember 2024
Dewan Negara: 17 Disember 2024
Rang Undang-Undang Pemegang Amanah (Pemerbadanan) [Akta 258] (Pindaan) 2024
Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan)(Pindaan) 2024 bertujuan meningkatkan ketelusan dan pengawasan dalam pengurusan badan pemegang amanah. Pindaan ini memperkenalkan peraturan mengenai pendedahan maklumat dan konflik kepentingan, serta memberi kuasa kepada Menteri untuk memeriksa badan pemegang amanah dan mengambil tindakan yang sesuai. Tujuan utama pindaan adalah untuk mencegah penyelewengan dana dan memastikan pengurusan yang lebih bertanggungjawab.
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 11 Disember 2024
Dewan Negara: 17 Disember 2024
Rang Undang-Undang Timbang Tara (Pindaan) 2024
Akta Timbang Tara (Pindaan) 2024 adalah pindaan kepada Akta Timbang Tara 2005 (Akta 646) yang bertujuan memperkukuh pengurusan dan operasi Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuala Lumpur. Pindaan ini meliputi aspek pembiayaan pihak ketiga dalam proses timbang tara, sebagai langkah berjaga-jaga selepas pengalaman Malaysia berhubung tuntutan Kumpulan Sulu. Selain itu, pindaan ini selaras dengan pelaksanaan Perjanjian Tambahan antara Malaysia dan Asian African Legal Consultative Organization (AALCO). Tujuannya adalah untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam komuniti timbang tara antarabangsa dan memastikan struktur organisasi Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia lebih efisien.
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 16 Julai 2024
Dewan Negara: 24 Julai 2024
Rang Undang-Undang Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan (Pindaan) 2024
Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan (Pindaan) 2024 adalah pindaan berbangkit daripada pindaan kepada Akta Timbang Tara 2005, dari aspek pelaksanaan Perjanjian Tambahan antara Malaysia dan Asian African Legal Consultative Organization (AALCO) yang melibatkan penstrukturan semula AIAC. Langkah ini diambil untuk memastikan keseragaman pengurusan dan operasi AIAC dalam hal ehwal penyelesaian pertikaian alternatif (alternative dispute resolution).
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 16 Julai 2024
Dewan Negara: 24 Julai 2024
Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024
Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan (Pindaan) 2024 adalah pindaan berbangkit daripada pindaan kepada Akta Timbang Tara 2005, dari aspek pelaksanaan Perjanjian Tambahan antara Malaysia dan Asian African Legal Consultative Organization (AALCO) yang melibatkan penstrukturan semula AIAC. Langkah ini diambil untuk memastikan keseragaman pengurusan dan operasi AIAC dalam hal ehwal penyelesaian pertikaian alternative (alternative dispute resolution).
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 16 Julai 2024
Dewan Negara: 24 Julai 2024