Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 telah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara.
RUU KESALAHAN SEKSUAL TERHADAP KANAK-KANAK (PINDAAN)
RUU KESALAHAN SEKSUAL TERHADAP KANAK-KANAK (PINDAAN)
Latar Belakang
Kerajaan pada masa ini sedang melaksanakan reformasi perundangan menerusi cadangan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 (Fasa 3.0) bagi memperkukuh kerangka perundangan sedia ada berkaitan perlindungan kanak-kanak daripada jenayah seksual. Cadangan pindaan ini bertujuan untuk menambah baik keberkesanan penguatkuasaan undang-undang, khususnya dalam menangani isu jenayah seksual rentas sempadan yang melibatkan kanak-kanak.
Antara cadangan utama pindaan adalah memperluas bidang kuasa ekstrateritorial bagi membolehkan tindakan perundangan diambil terhadap pelaku yang mempunyai kaitan dengan Malaysia atau melibatkan mangsa kanak-kanak yang mempunyai kaitan dengan Malaysia, tanpa mengira kewarganegaraan atau lokasi kesalahan dilakukan. Cadangan ini bertujuan untuk menutup kelompongan undang-undang sedia ada yang boleh dieksploitasi oleh pelaku bagi mengelakkan pendakwaan dengan berlindung di luar negara atau mengambil kesempatan terhadap kekangan bidang kuasa.
Pindaan yang dicadangkan ini juga selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Convention on the Rights of the Child (CRC), khususnya dalam memastikan perlindungan menyeluruh terhadap hak dan kebajikan kanak-kanak. Melalui pindaan ini, Kerajaan berhasrat untuk memperkukuh mekanisme keadilan jenayah serta memastikan pelaku kesalahan seksual terhadap kanak-kanak tidak terlepas daripada tindakan undang-undang walau di mana kesalahan tersebut dilakukan.
Objektif
- Memperkukuh kerangka perundangan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] bagi menangani cabaran semasa berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, termasuk kesalahan rentas sempadan.
- Menutup kelompongan perundangan berkaitan bidang kuasa ekstrateritorial agar tindakan pendakwaan dapat diambil terhadap pelaku yang mempunyai kaitan dengan Malaysia atau melibatkan mangsa kanak-kanak yang mempunyai kaitan dengan Malaysia.
- Memastikan pelaku kesalahan seksual terhadap kanak-kanak tidak dapat mengelakkan tindakan undang-undang dengan berlindung di luar negara atau mengeksploitasi kekangan bidang kuasa sedia ada.
- Menyelaraskan peruntukan undang-undang domestik dengan komitmen antarabangsa Malaysia, khususnya di bawah Convention on the Rights of the Child (CRC).
- Memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak selaras dengan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak (best interest of the child) dan meningkatkan keberkesanan sistem keadilan jenayah negara.


