Rang Undang-Undang Insolvensi Rentas Sempadan 2025
Rang Undang-Undang Insolvensi Rentas Sempadan bertujuan mewujudkan kerangka perundangan bagi menguruskan kes insolvensi yang melibatkan lebih daripada satu negara.
RUU ini memudahkan pengiktirafan prosiding insolvensi asing, menggalakkan kerjasama antara mahkamah Malaysia dengan mahkamah asing, serta mempercepat pengurusan aset dan tuntutan pemiutang merentas sempadan. Pelaksanaannya akan memperkukuh keyakinan pelabur dan menyelaraskan sistem insolvensi Malaysia dengan amalan antarabangsa.
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 29 Julai 2025
Dewan Negara: 9 September 2025
Rang Undang-Undang Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025
Rang Undang-Undang Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam bertujuan memperkukuh sistem bantuan guaman negara dengan menyediakan kerangka perundangan yang lebih menyeluruh bagi memastikan akses kepada keadilan, khususnya kepada golongan yang memerlukan. RUU ini juga memperkemaskan penyampaian perkhidmatan bantuan guaman dan pembelaan awam agar lebih cekap, berkesan dan selaras dengan perkembangan sistem perundangan negara.
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 25 Ogos 2025
Dewan Negara: 4 September 2025
Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025 & Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025
Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025 dan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 bertujuan mengembalikan Perkhidmatan Parlimen sebagai sebuah perkhidmatan yang bebas dan berasingan daripada perkhidmatan awam. Kedua-dua RUU ini memperkukuh kebebasan institusi Parlimen, meningkatkan tadbir urus serta memperkasakan peranan Parlimen sebagai institusi legislatif yang lebih berkesan, selaras dengan agenda reformasi institusi negara.
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 5 Mac 2025 & 4 Mac 2025
Dewan Negara: 20 Mac 2025
Rang Undang-Undang Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2025
Rang Undang-Undang Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2025 bertujuan memodenkan kerangka perundangan yang mengawal selia profesion guaman di Semenanjung Malaysia. Pindaan ini memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan pengawalseliaan profesion guaman serta memastikan amalan perundangan kekal relevan, telus dan selaras dengan perkembangan semasa demi memelihara kepentingan awam serta integriti profesion.
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 1 Disember 2025
Dewan Negara: 17 Disember 2025
Rang Undang-Undang Antibuli 2025
Rang Undang-Undang Antibuli 2025 bertujuan menyediakan kerangka perundangan khusus bagi mencegah, menangani dan membanteras perbuatan buli secara menyeluruh. RUU ini memperkukuh mekanisme perlindungan mangsa, menetapkan tanggungjawab pihak berkaitan, serta mewujudkan saluran aduan dan penyelesaian yang lebih berkesan bagi memastikan persekitaran yang selamat, inklusif dan bebas daripada buli.
Tarikh lulus
Dewan Rakyat: 3 Disember 2025
Dewan Negara: 16 Disember 2025
