Bacaan Kedua dan Ketiga RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 di Dewan Negara dan diluluskan.
RUU PERKHIDMATAN PARLIMEN 2025 & PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN (PINDAAN) 2025
RUU PERKHIDMATAN PARLIMEN 2025 & PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN (PINDAAN) 2025
Latar Belakang
Parlimen merupakan institusi penting dalam sistem demokrasi yang berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kuasa eksekutif serta sebagai saluran bagi rakyat menyuarakan pandangan melalui wakil mereka. Selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kebebasan Parlimen, usaha telah dijalankan untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 bagi mengukuhkan doktrin pengasingan kuasa antara badan perundangan dan eksekutif.
Sebelum ini, Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 memberikan autonomi kepada Parlimen dalam aspek pentadbiran, sumber manusia, dan kewangan, namun ia dimansuhkan pada tahun 1993. Sejak itu, Parlimen beroperasi sebagai sebahagian daripada perkhidmatan awam am Persekutuan. Menyedari kepentingan memartabatkan institusi demokrasi berparlimen, Kerajaan kini mengambil langkah untuk memperkenalkan semula perundangan yang memberikan Parlimen kuasa autonomi bagi meningkatkan keberkesanan dan kewibawaannya sebagai sebuah institusi bebas.
Objektif
- Memperkasakan Autonomi Parlimen – Memastikan Parlimen Malaysia berfungsi secara bebas daripada cabang eksekutif bagi meningkatkan prinsip pemisahan kuasa dan kebertanggungjawaban demokratik.
- Menstrukturkan Semula Pengurusan Pentadbiran – Mewujudkan mekanisme yang lebih sistematik dalam pengurusan sumber manusia, kewangan, dan operasi pentadbiran Parlimen bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan institusi ini.
- Menubuhkan Majlis Perkhidmatan Parlimen – Majlis ini akan bertindak sebagai badan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perkhidmatan Parlimen, termasuk pengurusan sumber manusia, kenaikan pangkat, dan kebajikan pegawai serta kakitangan Parlimen tanpa campur tangan politik.
- Memperkasakan Fungsi Semak dan Imbang – Mengukuhkan peranan Parlimen dalam menjalankan kawalan ke atas dasar-dasar kerajaan bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti, dan kebertanggungjawaban yang lebih tinggi.
- Memastikan Reformasi Parlimen yang Inklusif dan Responsif – Menyediakan persekitaran yang lebih terbuka dan telus dalam sistem legislatif bagi memastikan Parlimen lebih peka terhadap keperluan dan aspirasi rakyat.