Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan MJM RUU Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
RUU PERLINDUNGAN PEMBERI MAKLUMAT (PINDAAN) 2025
RUU PERLINDUNGAN PEMBERI MAKLUMAT (PINDAAN) 2025
Latar Belakang
Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] ialah akta bagi memperuntukkan perlindungan terhadap Pemberi Maklumat yang telah mendedahkan sesuatu kelakuan tidak wajar. Perkara ini adalah selaras dengan inisiatif yang diterajui oleh Kerajaan dengan menandatangani United Nations Conventions Against Corruptions (UNCAC) pada 20 September 2008 yang mana telah menetapkan state party mempunyai komitmen untuk mengadakan undang-undang bagi memberi perlindungan kepada pemberi maklumat dan tindakan sewajarnya supaya pendedahan tersebut disalurkan kepada pihak berkuasa (Artikel 33 dan 37 UNCAC).
Akta ini terpakai kepada mereka yang berada dalam sektor awam dan swasta. Semua badan, agensi dan jabatan di bawah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan badan swasta seperti syarikat adalah tertakluk kepada pemakaian Akta ini. Pada masa ini, sebanyak tujuh (7) buah agensi penguatkuasaan utama secara aktif mengguna pakai Akta 711 ini iaitu Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)
Objektif
- Objektif Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 digubal adalah bertujuan untuk memerangi rasuah dan salah laku lain dengan menggalakkan dan memudahkan pemberi maklumat membuat pendedahan kelakuan tidak wajar, melindungi orang yang membuat pendedahan daripada tindakan yang memudaratkan dan memastikan supaya pendedahan tersebut disiasat dan diuruskan sewajarnya.