Pengemukaan Laporan Interim oleh Pasukan Penyelidik daripada UiTM.
KAJIAN KOMPARATIF SISTEM PELANTIKAN KEHAKIMAN
KAJIAN KOMPARATIF SISTEM PELANTIKAN KEHAKIMAN
Latar Belakang
Kerajaan melalui BHEUU, JPM sedang melaksanakan usaha reformasi kehakiman, khususnya dalam sistem pelantikan hakim, menjadi keutamaan Kerajaan bagi memperkukuh tadbir urus dan memastikan integriti institusi negara. Bagi memandu proses ini, sebuah Jawatankuasa Khas Kajian Komparatif Sistem Pelantikan Kehakiman akan ditubuhkan, yang dipengerusikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan dianggotai oleh YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) selaku Timbalan Pengerusi, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang, Dewan Negara, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, Dewan Rakyat, seorang wakil Ahli Parlimen daripada blok Kerajaan, seorang wakil Ahli Parlimen daripada blok pembangkang, wakil BHEUU JPM, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil JAC, wakil Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) dan wakil Majlis Peguam Malaysia.
Pelaksanaan kajian perbandingan ini akan dilaksanakan oleh UiTM dengan menyediakan kepakaran penyelidikan, analisis komparatif, dan penulisan teknikal yang diperlukan oleh Jawatankuasa Khas Kajian Komparatif Pelantikan Kehakiman. Pasukan penyelidik akan berperanan membantu Jawatankuasa dari segi penyediaan metodologi, pengumpulan data dan penyusunan Laporan Kajian Komparatif, sambil mengekalkan kebebasan akademik dalam menjalankan kajian dan analisis secara objektif.
Objektif
- Menjalankan kajian komparatif ke beberapa negara terpilih bagi mendapatkan maklumat mendalam mengenai model pelantikan kehakiman dan amalan terbaik;
- Merangka cadangan model pelantikan kehakiman yang sesuai untuk konteks Malaysia dengan mengambil kira prinsip kebebasan badan kehakiman, semak dan imbang serta sistem Raja Berperlembagaan;
- Mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk Majlis Raja-Raja, Badan Kehakiman, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP), JAC, kerajaan-kerajaan negeri termasuk Sabah dan Sarawak, Majlis Peguam Malaysia, ahli akademik, masyarakat sivil serta agensi berkaitan;
- Mengemukakan Laporan Kajian Komparatif kepada Jemaah Menteri yang mengandungi dapatan kajian dan cadangan awal model reformasi selewat-lewatnya pada suku kedua tahun 2026; dan
- Menjemput pakar atau ahli akademik membuat pembentangan kepada Jawatankuasa berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa.


