Mesyuarat Jawatankuasa Kajian Kebolehlaksanaan Tribunal Hak Asasi Manusia Bil.1/2025 telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Mah Weng Kwai selaku Pengerusi Jawatankuasa.
KAJIAN KEBOLEHLAKSANAAN HUMAN RIGHTS TRIBUNAL DI MALAYSIA
KAJIAN KEBOLEHLAKSANAAN HUMAN RIGHTS TRIBUNAL DI MALAYSIA
Latar Belakang
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memainkan peranan penting dalam menguruskan aduan berkaitan hak asasi manusia di Malaysia. Sebagai badan bebas yang diwujudkan melalui Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999, SUHAKAM berfungsi untuk mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia.
Walau bagaimanapun, SUHAKAM tidak mempunyai kuasa untuk menguat kuasakan undang-undang dan hanya boleh memberi cadangan terhadap aduan yang diterima. Justeru, terdapat cadangan untuk menubuhkan sebuah Tribunal Hak Asasi Manusia.
Tribunal Hak Asasi Manusia ini berpotensi menjadi platform efektif untuk menyelesaikan aduan berkaitan hak asasi manusia, tetapi keberkesanannya bergantung pada pelbagai faktor, termasuk struktur, kuasa, dan kesediaan sistem kehakiman dan pihak berkuasa untuk menghormati keputusan tribunal tersebut.
Cadangan penubuhan Tribunal Hak Asasi Manusia ini diharap dapat berfungsi sebagai badan bebas yang khusus menangani kes-kes pelanggaran hak asasi manusia. Memandangkan kos untuk membawa kes ke mahkamah adalah tinggi, justeru pewujudan tribunal ini diharap dapat membantu mangsa-mangsa pelanggaran hak asasi manusia untuk mendapatkan keadilan tanpa peruntukan kos guaman yang tinggi.
Objektif
- Menghasilkan input, dapatan serta cadangan yang signifikan berkaitan dengan kebolehlaksanaan penubuhan Tribunal Hak Asasi Manusia di Malaysia dan mengemukakannya untuk pertimbangan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).