02 Mac 2026: Bacaan Kedua RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 berhubung Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Parlimen.
RUU PINDAAN PERLEMBAGAAN 2026 BERHUBUNG PENGEHADAN TEMPOH JAWATAN PERDANA MENTERI
RUU PINDAAN PERLEMBAGAAN 2026 BERHUBUNG PENGEHADAN TEMPOH JAWATAN PERDANA MENTERI
Latar Belakang
Cadangan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri merupakan sebahagian daripada Agenda Reformasi Institusi Kerajaan MADANI bagi memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti, ketelusan dan prinsip semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen.
Pada masa ini, Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan had tempoh jawatan Perdana Menteri. Sehubungan itu, Kerajaan bercadang untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun secara agregat melalui pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Cadangan ini telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 5 Januari 2026 dan seterusnya dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII pada 19 Januari 2026 sebagai langkah memperkukuh tadbir urus negara yang berintegriti, berakauntabiliti dan berteraskan prinsip perlembagaan.
Kajian perbandingan antarabangsa serta sesi libat urus bersama Ahli Parlimen, agensi Kerajaan, pakar dan orang awam turut menunjukkan sokongan terhadap pelaksanaan pengehadan tempoh jawatan yang selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen Malaysia.
Objektif
- Menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta merealisasikan agenda Reformasi Institusi Kerajaan MADANI.
- Memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti dan prinsip semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen negara.
- Menjamin peralihan kepimpinan negara yang lebih terancang, stabil dan berteraskan Perlembagaan.
- Meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara dan sistem pentadbiran Kerajaan.







