Akta Jualan Barangan 1957 [Akta 382] (“SOGA 1957”) merupakan perundangan yang diguna pakai bagi transaksi jualan barang di Malaysia Barat. Melalui pindaan yang dibuat ke atas Akta Jualan Barangan (Pindaan) 1990, negeri Pulau Pinang dan Melaka adalah termasuk di dalam definisi Malaysia Barat dan negeri-negeri tersebut tertakluk kepada Akta 382.
Pada tahun 2008, Majlis Peguam Malaysia melalui International Malaysia Society of Maritime Law (“IMSML”) telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan supaya mempertimbangkan keperluan untuk meratifikasi International Convention For The Unification Of Certain Rules Of Law Relating To Bills Of Lading dan seterusnya menambah baik undang-undang domestik dengan meminda Carriage of Goods By Sea Act 1950 [Akta 527] (“COGSA”); menggubal Akta Bil Muatan Perkapalan (Bill of Lading Act Malaysia) (“BOLA”) dan menyemak semula SOGA 1957.
Pihak IMSML telah mengemukakan cadangan yang spesifik supaya SOGA 1957 dipinda bagi membolehkan status perundangan mengenai jualan barangan secara pukal (sale of goods forming part of a bulk) ditambah baik dan mengikut trend perundangan semasa di bawah undang-undang Inggeris mengenai perkara tersebut.
Dalam masa yang sama Kementerian Pengangkutan telah membuat pindaan kepada COGSA dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berada pada peringkat akhir penggubalan Rang Undang-Undang Harta Alih Kepentingan Bercagar (RUUHAKB).