Satu Konvensyen Pendanaan Politik dengan kerjasama The Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dan UIAM akan dianjurkan sebagai platform untuk membentangkan dasar yang disyorkan untuk dimasukkan dalam RUU Pendanaan Politik kepada pihak berkepentingan. Penganjuran konvensyen ini bertujuan meningkatkan kefahaman, memperkukuh kesedaran awam serta menggalakkan penerimaan terhadap cadangan dasar dan rangka perundangan yang dicadangkan.
RUU PENDANAAN POLITIK 2025
RUU PENDANAAN POLITIK 2025
Latar Belakang
Usaha pengukuhan akauntabiliti dan integriti telah digariskan dalam Perkara 3 Strategi Teras 4: Penguatkuasaan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024 – 2028 (NACS) iaitu memperkenalkan RUU baharu berkaitan pendanaan politik.
la juga adalah selari dengan komitmen Kerajaan berhubung Perkara 5 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Memerangi Rasuah (United Nations Convention against Corruption – UNCAC) yang merangkumi Pernyataan Kuala Lumpur mengenai Strategi Antirasuah pada tahun 2013, untuk menjadikan Malaysia bebas daripada salah guna kuasa dan rasuah dengan berpegang kepada prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan.
Objektif
- Mewujudkan undang-undang baharu bagi mengawal selia sumbangan politik. Ini kerana buat masa ini tiada undang-undang khusus yang mengawal selia dana politik.
- Mewujudkan punca kuasa sebuah entiti yang berperanan pengawalseliaan dana politik.
- Membolehkan pengawalan sumbangan politik dibuat sepanjang masa dan bukan terhad ketika pilihan raya sahaja.







