Mesyuarat Legal Scrubbing selanjutnya akan diadakan bersama Bahagian Gubalan AGC bagi membincangkan lanjut tentang cadangan RUU FOI. Mesyuarat terakhir dijangka akan selesai pada pertengahan Mei 2026 sebelum draf RUU ini dimuktamadkan. Seterusnya, Memorandum Jemaah Menteri tentang RUU FOI ini akan dibentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri pada Jun 2026 sebelum dibentangkan di Parlimen dalam Mesyuarat Kedua Tahun 2026 yang dijangka pada Julai 2026.
RUU KEBEBASAN MAKLUMAT 2025

Kronologi Penuh
Bagi memperhalusi aspek perundangan dan teknikal penggubalan, Mesyuarat Legal Scrubbing Bilangan 1 bersama AGC telah diadakan pada 1 April 2026. Susulan itu, pada 2 April 2026, satu sesi pembentangan dapatan Legal Scrubbing Bilangan 1 telah diadakan bersama Pengurusan Tertinggi BHEUU bagi membincangkan isu isu dasar dan perundangan yang dikenal pasti.
Pada 7 April 2026, PUU BHEUU telah mengedarkan e-mel rasmi kepada Bahagian Gubalan AGC bagi mendapatkan ulasan bertulis berkaitan cadangan struktur badan kawal selia FOI, termasuk cadangan berkaitan fungsi dan peranan Ombudsman sebagai mekanisme semakan dan rayuan.
Selanjutnya, pada 20 April 2026, Mesyuarat Perbincangan Hala Tuju Penggubalan RUU FOI telah dipengerusikan oleh Ketua Pengarah BHEUU dengan kehadiran Bahagian Gubalan AGC, Bahagian Penasihat AGC serta PUU JPM bagi memperincikan hala tuju dan pendekatan penggubalan RUU tersebut.
Pada 23 April 2026, PUU BHEUU telah mengedarkan draf RUU FOI dengan pindaan, bagi mengeluarkan peruntukan Tribunal FOI sebagai mekanisme rayuan FOI. Ini berdasarkan persetujuan yang telah dibuat bahawa Tribunal FOI tidak sesuai diletakkan di bawah Ombudsman.
Pada 24 April 2026, Mesyuarat Legal Scrubbing Bilangan 2 bersama AGC telah diadakan bagi meneruskan semakan lanjut terhadap draf RUU FOI. Pada hari yang sama, satu sesi pembentangan dapatan Legal Scrubbing Bilangan 2 turut diadakan bersama Ketua Pengarah BHEUU bagi mendapatkan panduan dan ketetapan lanjut daripada pihak pengurusan tertinggi.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh asas perlembagaan dan hala tuju dasar penggubalan RUU FOI, satu sesi perbincangan dan khidmat nasihat kepakaran perlembagaan bersama Prof. Madya Datuk Dr. Shamrahayu binti Ab Aziz telah diadakan pada 28 April 2026 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sesi tersebut bertujuan mendapatkan pandangan dan buah fikiran berhubung isu-isu perlembagaan yang berkaitan dengan cadangan penggubalan RUU FOI, termasuk aspek kedudukan perlembagaan, struktur badan kawal selia dan mekanisme pelaksanaan yang bersesuaian dengan kerangka perundangan negara.
Pada 25 Februari 2026, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pasukan Petugas Kerangka Akauntabiliti MADANI telah diadakan bagi membincangkan penetapan dasar RUU FOI. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh wakil AGC khususnya Bahagian Gubalan AGC, NGO, CSO, Badan Peguam, ahli akademik serta pakar perlembagaan bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas secara menyeluruh.
YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri semasa Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 pada 5 Januari 2026 telah mengumumkan bahawa terdapat 4 reformasi perundangan utama yang akan diberikan focus pada tahun 2026 adalah seperti yang berikut:
i. Penggubalan RUU Perlembagaan (Pindaan) tentang Pengehadan Tempoh Memegang Jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun;
ii. Penggubalan RUU Perlembagaan tentang Pengasingan Fungsi dan Peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya;
iii. Penggubalan RUU Ombudsman Malaysia; dan
iv. Penggubalan RUU Kebebasan Maklumat (FOI).
Seterusnya, pada 12 Januari 2026, Mesyuarat Pasukan Petugas Kerangka Akauntabiliti MADANI yang dipengerusikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang Undang dan Reformasi Institusi) telah diadakan dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan termasuk AGC, NGO, CSO, Badan Peguam, ahli akademik dan pakar perlembagaan. Dalam mesyuarat tersebut, RUU FOI telah disenaraikan sebagai antara RUU yang diberikan keutamaan untuk dibentangkan di Parlimen pada tahun 2026.
Jangkaan pembentangan RUU FOI.
Jawatankuasa Protem telah mengadakan mesyuarat pertama pada 17 April 2025 dan Mesyuarat seterusnya akan diadakan bagi penggubalan RUU tersebut.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Oktober 2025 telah membuat keputusan antaranya seperti berikut:
a) Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat (FOI) yang pada asalnya dicadang untuk diletakkan di bawah Ombudsman Malaysia tidak dapat dibentangkan dalam sidang Parlimen semasa (Dis 2025) kerana agenda Parlimen telah penuh dengan urusan pembentangan RUU dan urusan kerajaan yang lain.
b) Pembentangan Memorandum Penubuhan Ombudsman Malaysia dan RUU FOI ditangguhkan ke awal tahun 2026.
Pembentangan Memorandum daripada Perdana Menteri mengenai Cadangan Ketetapan Dasar Bagi Penggubalan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat. Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip mengenai cadangan penetapan dasar dan bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Protem bagi menyediakan draf RUU FOI.
Jawatankuasa Protem telah ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh KP BHEUU serta dianggotai oleh wakil-wakil daripada Kementerian/Agensi Kerajaan, CSO, NGO, Majlis Peguam Malaysia (MPM) dan ahli akademik. Tujuan Protem ini adalah bagi meneliti dan menyediakan draf RUU FOI sebelum dibentangkan bagi mendapatkan pertimbangan Jemaah Menteri dan sebelum dibentangkan di Parlimen.
Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 5 Bilangan 4 Tahun 2024 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri telah bersetuju secara prinsip mengenai cadangan penetapan dasar bagi penggubalan RUU FOI ini dan akan dibentangkan di Parlimen pada tahun 2025.
Sepanjang tahun 2024- (7) sesi libat urus di seluruh negara mengikut zon iaitu zon utara, zon selatan, zon pantai timur, zon Sabah, zon Sarawak dan zon tengah melibatkan lebih 1500 penyertaan wakil-wakil daripada pelbagai kementerian/jabatan/agensi Kerajaan ahli-ahli akademik, badan bukan Kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat madani (CSO) dan penglibatan pihak berkepakaran dalam kalangan pesuruhjaya-pesuruhjaya maklumat di luar negara yang mahir tentang pelaksanaan akta ini.
Mesyuarat Jawatankuasa Khas Tatakelola Nasional (JKKTN) telah bersetuju bahawa Akta Kebebasan Maklumat (FOI) digubal pada peringkat kebangsaan, Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] dikekalkan dan dipinda sewajarnya dan pelaksanaan sesi libat urus menyeluruh bagi mendapatkan pandangan dan input daripada pelbagai pihak berkepentingan.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU)
Aras 4-8, Bangunan Hal Ehwal Undang-Undang, Presint 3,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62692 Wilayah Persekutuan Putrajaya.
03-88851000 / 03-88851048
03-88851051
webmaster@bheuu.gov.my
Paparan terbaik menggunakan resolusi 1024 x 768,
pelayar Mozilla Firefox, Chrome
Statistik Pelawat :28952
