April 2026
Bagi memperhalusi aspek perundangan dan teknikal penggubalan, Mesyuarat Legal Scrubbing Bilangan 1 bersama AGC telah diadakan pada 1 April 2026. Susulan itu, pada 2 April 2026, satu sesi pembentangan dapatan Legal Scrubbing Bilangan 1 telah diadakan bersama Pengurusan Tertinggi BHEUU bagi membincangkan isu isu dasar dan perundangan yang dikenal pasti.
Pada 7 April 2026, PUU BHEUU telah mengedarkan e-mel rasmi kepada Bahagian Gubalan AGC bagi mendapatkan ulasan bertulis berkaitan cadangan struktur badan kawal selia FOI, termasuk cadangan berkaitan fungsi dan peranan Ombudsman sebagai mekanisme semakan dan rayuan.
Selanjutnya, pada 20 April 2026, Mesyuarat Perbincangan Hala Tuju Penggubalan RUU FOI telah dipengerusikan oleh Ketua Pengarah BHEUU dengan kehadiran Bahagian Gubalan AGC, Bahagian Penasihat AGC serta PUU JPM bagi memperincikan hala tuju dan pendekatan penggubalan RUU tersebut.
Pada 23 April 2026, PUU BHEUU telah mengedarkan draf RUU FOI dengan pindaan, bagi mengeluarkan peruntukan Tribunal FOI sebagai mekanisme rayuan FOI. Ini berdasarkan persetujuan yang telah dibuat bahawa Tribunal FOI tidak sesuai diletakkan di bawah Ombudsman.
Pada 24 April 2026, Mesyuarat Legal Scrubbing Bilangan 2 bersama AGC telah diadakan bagi meneruskan semakan lanjut terhadap draf RUU FOI. Pada hari yang sama, satu sesi pembentangan dapatan Legal Scrubbing Bilangan 2 turut diadakan bersama Ketua Pengarah BHEUU bagi mendapatkan panduan dan ketetapan lanjut daripada pihak pengurusan tertinggi.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh asas perlembagaan dan hala tuju dasar penggubalan RUU FOI, satu sesi perbincangan dan khidmat nasihat kepakaran perlembagaan bersama Prof. Madya Datuk Dr. Shamrahayu binti Ab Aziz telah diadakan pada 28 April 2026 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sesi tersebut bertujuan mendapatkan pandangan dan buah fikiran berhubung isu-isu perlembagaan yang berkaitan dengan cadangan penggubalan RUU FOI, termasuk aspek kedudukan perlembagaan, struktur badan kawal selia dan mekanisme pelaksanaan yang bersesuaian dengan kerangka perundangan negara.
